TERAP KEMAHIRAN BERFIKIR MELALUI PENYOALAN ?>

TERAP KEMAHIRAN BERFIKIR MELALUI PENYOALAN

TERAP KEMAHIRAN BERFIKIR MELALUI PENYOALAN
Peranan guru dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran amat penting bagi merangsang pelajar supaya mereka turut serta dalam proses pembelajaran. Salah satu cara guru boleh menerapkan kemahiran berfikir semasa mengajar ialah melalui penyoalan. Penyoalan guru merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang boleh merangsang pemikiran pelajar. Melalui penyoalan ini, guru boleh mengesan kefahaman pelajar, menilai keberkesanan pengajaran guru di dalam kelas dan meningkatkan pemikiran pelajar pada aras kognitif yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, penyoalan guru perlulah dirancang dengan teliti sebelum proses pengajaran berlaku. Penyoalan guru yang dirancang dengan baik akan membolehkan penggunaan soalan secara berkesan semasa pengajaran. Guru boleh menggunakan soalan untuk mencabar pemikiran pelajar atau menimbulkan perasaan ingin tahu dan minat pelajar pada awal pengajaran hinggalah membawa kepada menjawab soalan guru yang dikemukakan secara bertulis. Penggunaan penyoalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan membantu pelajar mendapatkan idea serta mengukuhkannya dalam bentuk pertuturan dan penulisan.
Penyoalan guru juga merupakan sebagai satu cara untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran kepada pelajarnya. Soalan-soalan yang dikemukakan adalah berpotensi untuk membantu pelajar dalam mencapai keupayaan kognitif yang optimum. Melalui soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru dalam proses PdP dapat mendedahkan pelajar menggunakan pengetahuan sedia ada dan membandingkan maklumat yang diperoleh serta menggunakannya untuk penyelesaian masalah. Dengan cara ini, pelajar bertindak secara aktif dan bukannya bertindak secara pasif dalam proses pembelajaran mereka.
Jenis Soalan Guru
Terdapat beberapa jenis soalan guru yang boleh digunakan dalam pengajaran. Antaranya ialah soalan jenis menumpu yang melibatkan maklumat terus dan berfokus, dan soalan jenis mencapah yang merangkumi soalan terbuka. Soalan jenis menumpu sesuai untuk yang beraras kognitif rendah. Soalan jenis mencapah yang merangkumi soalan terbuka merupakan soalan yang boleh menghasilkan pelbagai jawapan daripada pelajar. Misalnya, dalam pengajaran poligon, guru boleh bertanyakan soalan seperti “Apakah yang kamu boleh beritahu saya tentang poligon?”. Soalan berbentuk terbuka lebih menggalakkan pelajar untuk melatih kemahiran berfikir yang tinggi, iaitu pada peringkat sintesis dan analisis. Guru juga boleh bertanya kepada pelajar “Bolehkah kamu menunjukkan cara lain untuk menyelesaikan masalah ini?” Pelajar boleh menunjukkan pelbagai cara seperti penggunaan simbol, visual, lisan, atau graf dalam menyelesaikan masalah terutama masalah matematik. Melalui cara ini, pelajar dapat berkongsi idea mereka bersama rakan lain untuk menyelesaikan masalah. Justeru, guru seharusnya memberi peluang kepada pelajar untuk tampil ke depan dan menunjukkan cara mereka sendiri dalam menyelesaikan masalah.
Guru yang efektif ialah guru yang sentiasa mewujudkan suasana bersoal jawab dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengutarakan pendapat mereka semasa dalam proses PdP. Pengajaran yang berkesan memerlukan persekitaran yang kondusif, menggalakkan pelajar berfikir, menyoal dan menyelesaikan masalah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *