Kefahaman Terhadap Konsep STEM ?>

Kefahaman Terhadap Konsep STEM

Kefahaman Terhadap Konsep STEM
Keprihatinan terhadap pendidikan STEM sentiasa berkembang kerana keperluan kepada kemahiran STEM untuk memenuhi cabaran ekonomi semakin mendesak. Untuk terus melonjakkan daya saing negara terutamanya di peringkat global, pendidikan STEM perlu terus di terokai. Negara masih memerlukan kepakaran dan kemahiran yang berteraskan bidang STEM. Minat terhadap Sains dan Matematik dalam kalangan murid sekolah boleh dicetuskan kembali melalui pendidikan STEM. Oleh itu, banyak pihak kini berminat dengan pendidikan STEM. STEM adalah akronim kepada Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik. Bagaimanapun, terdapat pelbagai interpretasi oleh pendidik dan orang awam tentang Pendidikan STEM itu sendiri.
Pelbagai Interpretasi Pendidikan STEM
Terdapat pihak yang mengatakan pendidikan STEM berkait dengan perubahan keadaan bilik darjah daripada pengajaran pasif kepada pengajaran aktif, pembelajaran inovatif serta juga melibatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Ada juga mengatakan STEM adalah pengajaran yang melibatkan subjek-subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dan secara realitinya tiada kaitan antara subjek.  Pendidikan STEM dilihat sebagai memberi fokus kepada peningkatan Sains dan Matematik sebagai disiplin yang terasing. Malah ada yang melihat pendidikan STEM itu hanya melibatkan elemen teknologi sebagai teras utama. Jelas terdapat pelbagai interpretasi mungkin juga kekeliruan tentang pendidikan STEM. Jadi apakah interpretasi yang sebenar?
Definisi Masa kini Pendidikan STEM
Mungkin rujukan berikut boleh memberi gambaran tentang pendidikan STEM yang diamalkan masa kini. Moore et al (2014) mendefinisikan pendidikan STEM bersepadu sebagai “satu usaha untuk menggabungkan semua atau sebahagian empat disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan matematik kepada satu kelas, unit atau pelajaran yang berasaskan hubungan antara subjek dan masalah dunia sebenar”. Sneideman (2013) berpandangan bahawa STEM adalah suatu falsafah atau cara berfikir, di mana beberapa mata pelajaran iaitu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi diintegrasikan menjadi satu bidang pendidikan yang dianggap sesuai dan relevan untuk diajarkan di sekolah kerana ia menekankan aspek amali dan realiti. Kelly dan Knowles (2016) pula memberi definisi pendidikan STEM sebagai satu pendekatan pengajaran kandungan STEM dalam dua atau lebih domain STEM dalam konteks autentik dengan tujuan untuk menghubungkan subjek berkaitan bagi meningkatkan pembelajaran pelajar. Dengan kata lain pendidikan STEM tidak berdiri sendiri atas disiplin yang terasing antara satu sama lain, ia adalah integrasi antara disiplin yang berteraskan dunia sebenar. Ini juga bermaksud kelas tradisional yang berorientasikan pemusatan guru perlu diubah kepada yang berasakan inkuiri dan penyelesaian masalah di mana pelajar belajar untuk mencari penyelesaian kepada masalah dunia sebenar. Walaupun integrasi kandungan STEM itu mungkin sukar untuk sebahagian guru untuk melaksanakannya tetapi kefahaman tentang konsep pendidikan STEM itu perlu diambil kira. Kerjasama antara pendidik dengan NGO dan industri boleh dimanfaatkan bagi menjalankan aktiviti STEM agar hala tuju pendidikan STEM dapat memenuhi keperluan negara pada masa hadapan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *