Guru Perlu Manfaatkan Peluang Belajar di Peringkat Pengajian Tinggi ?>

Guru Perlu Manfaatkan Peluang Belajar di Peringkat Pengajian Tinggi

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar siswazah dalam kalangan guru yang telah mendapat tawaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di universiti-universiti tempatan baru-baru. Semangat untuk menimba ilmu dalam kalangan guru harus dipuji. Tetapi untuk mengekalkan prestasi yang cemerlang, semangat sahaja tidak mencukupi jika tiada daya tahan dan usaha berterusan. Perlu konsisten dari segi komitmen dan banyak bersabar dalam mengharungi liku-liku dan halangan semasa pembelajaran.
Oleh kerana telah bergelar pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah maka aspek-aspek penting dalam meningkatkan ilmu dan kemahiran perlulah diambil kira. Guru harus bertanya diri sendiri untuk apa mereka belajar sehingga ke peringkat sarjana atau doktor falsafah. Adakah untuk mendapatkan ilmu atau untuk mendapat sijil atau ijazah semata-mata? Matlamatnya mungkin baik tetapi tindakan yang diambil untuk mencapai hasrat tersebut perlu lah sesuai.
Amalan Membaca
Amat rugi jika seseorang pelajar tidak mengambil peluang untuk membaca sebanyak mungkin bahan akademik seperti buku dan artikel jurnal dalam menghasilkan tugasan, tesis atau penulisan akademiknya. Kemudahan yang disediakan di perpustakaan haruslah digunakan sepenuhnya kerana universiti telah membelanjakan ribuan jika tidak jutaan ringgit untuk bahan-bahan rujukan terkini termasuk bahan dalam talian. Masa kini juga terdapat sebilangan besar bahan-bahan sumber terbuka yang boleh dimuat turun secara percuma sama ada jurnal, buku atau tesis. Amat mudah sekarang ini untuk mencari bahan-bahan akademik, dengan menggunakan Google Scholar, sejumlah besar bahan-bahan boleh didapati dalam beberapa saat sahaja. Maka tiada alasan lagi untuk menyatakan “rujukan tak cukup”.
Wujudkan Kumpulan Diskusi
Di peringkat pengajian tinggi memerlukan banyak masa untuk kita berdiskusi, bertukar idea dan berkongsi maklumat. Ini bukan lagi zaman belajar bersendirian. Wujudkan kumpulan untuk belajar dan berdiskusi. Perlu ada semangat tolong menolong dalam kalangan rakan-rakan. Banyak masalah boleh diselesaikan jika bekerjasama. Jangan kita pula menjadi free rider, haruslah juga kita menyumbang kepada kumpulan yang disertai. Melalui perbincangan juga  melatih kita membuat penaakulan selain daripada analisis kritikal terhadap pendapat orang lain.
Selalu Berjumpa Penyelia Anda
Kebiasaannya setiap pelajar mempunyai penyelia yang dilantik. Wujudkan rapport yang baik dengan penyelia. Selalu berjumpa dan berbincang dengan penyelia. Kekerapan berjumpa penyelia dengan waktu yang sesuai harus di bincang bersama. Sibuk mana pun penyelia, dia boleh meluangkan masa untuk pelajarnya. Penyelia yang bertanggungjawab akan sentiasa mengambil tahu tentang kemajuan pelajarnya. Terdapat pelajar yang hanya berjumpa penyelianya di awal dan di akhir semester. Perangai yang tidak sihat ini harus dijauhi.
Sertai Seminar-Seminar Kebangsaan dan Antarabangsa
Sepanjang anda menuntut ilmu sebagai pelajar siswazah jangan lepaskan peluang untuk menyertai seminar-seminar kebangsaan dan antarabangsa. Penyertaan dalam seminar juga membantu anda mendalami dalam bidang ilmu yang anda ceburi selain daripada mendapat maklumat terkini. Peluang inilah yang sepatutnya anda ambil untuk bertemu dan bertukar pandangan dengan peserta seminar yang lain. Jika anda seorang pembentang, maka input yang anda dapat daripada peserta lain boleh membantu memurnikan penulisan atau penyelidikan yang anda sedang lakukan.
Sertai Bengkel dan Kursus Kemahiran
Di sinilah peluang untuk anda meningkatkan kemahiran anda dalam aspek-aspek tertentu. Umpamanya, anda tiada kemahiran menggunakan perisian tertentu atau mempunyai masalah menulis artikel untuk jurnal maka sertai lah bengkel atau kursus yang dikendalikan pihak luar, jabatan anda sendiri mahupun Pusat Siswazah anda. Input daripada pakar-pakar tersebut akan membantu memudahkan kerja anda selain dari memperoleh kemahiran baru.
Akhirnya, setiap orang dalam hidupnya perlu mengambil peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan ilmu dan kemahiran yang dikehendaki sama ada secara formal atau tidak formal. Apatah lagi jika anda seorang guru, ilmu dan kemahiran anda amat berguna dan diperlukan untuk mendidik murid-murid di sekolah. Dalam menuju abad ke-21, orang yang mempunyai kelebihan ilmu dan kemahiran daripada orang lain sangat membantu dalam kerjaya masa depannya. Daya saing global juga mendesak kita agar sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran. Bagaimanapun, ilmu dan kemahiran itu hanya boleh dicapai jika disertai komitmen yang tinggi dalam menghadapi sebarang cabaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *