Catatan Ringkas Lawatan ke Timor Leste ?>

Catatan Ringkas Lawatan ke Timor Leste

 

penyelidikBaru-baru ini (bulan November 2017) saya berkesempatan untuk melawat Timor Leste bersama sekumpulan penyelidik UKM di bawah Projek UNESCO. Tujuan lawatan adalah untuk menilai pelaksanaan kurikulum Sains dan Matematik Gred 7 hingga 9, Timor Leste yang dibiayai oleh dana KOICA (Korean International Cooperation Agency) dibawah naungan UNESCO. Kami dikehendaki menemuduga dan mendapatkan maklumat daripada pegawai Kementerian Pendidikan, staf TimorLeste National Commission for UNESCO, staf SESIM (Pusat Sains dan Matematik, Timor Leste), pengetua/guru besar sekolah, guru-guru serta murid-murid.

Prasarana sekolah

sekolah3Apa yang menarik ialah walaupun prasarana dan persekitaran sekolah tidaklah begitu hebat seperti kita, semangat guru-gurunya tetap tinggi untuk mendidik anak bangsa. Papan hitam masih digunakan secara meluas di sekolah. Kawasan sekolahnya sempit dan terhad. Mereka hanya mempunyai satu makmal Sains di Dili yang dibiayai oleh pihak KOICA dan UNESCO. Saya dapati guru-gurunya amat berdedikasi, rajin dan positif terhadap masa depan mereka. Jangan terkejut jika saya katakan purata gaji guru mereka adalah sekitar USD300 dan kebanyakan mereka hanya mempunyai motosikal sebagai kenderaan untuk ke sekolah.

 

Lawatan ke Sekolah

bilik guruKami sempat melawat beberapa buah sekolah di luar Dili. Sekolah yang kami lawati itu berada lebih kurang 40 km daripada Dili dan untuk sampai ke situ melalui jalan pantai. Setiap sekolah mempunyai uniform yang tersendiri. Saiz kelas adalah antara 50 hingga 70 orang sekelas. Memanglah saiz kelasnya besar tetapi bagi guru mereka telah biasa dengan keadaan demikian dan mampu mengawalnya dengan baik. Sekolah mereka juga mempunyai Bilik Guru sepunya. Bahasa rasmi yang digunakan dalam kelas adalah bahasa Portugis, tetapi digunakan juga bahasa tempatan Tetum bagi menjelaskan sesuatu konsep. Daripada pemerhatian rambang, saya dapati murid-muridnya amat berdisiplin. Sekolah yang kami lawati itu populasinya sekitar 2000 orang pelajar. Saya terserempak juga dengan seorang guru daripada Portugal dan menanyakan peranan beliau. Beliau menyatakan yang beliau ditugaskan membantu dari aspek Bahasa Portugis.

Kurikulum Sains dan Matematik

guru2Dalam kurikulum baru Sains dan Matematik Gred 7 hingga 9, kaedah pengajaran adalah penekanan kepada aplikasi dan aspek kontekstual dalam subjek sains dan matematik. Buku teks lama yang menekankan teori telah dimasukkan contoh-contoh tempatan dalam penjelasan konsep serta aspek aplikasi dalam kehidupan seharian. Guru-guru di sekolah telah dilatih oleh SESIM bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik.

 

Rumusan

Semangat dan dedikasi guru mereka amat saya hargai walaupun dalam prasarana yang boleh dikatakan begitu daif. Saya percaya dalam masa terdekat Timor Leste akan berjaya dalam bidang pendidikan setara dengan rakan-rakan mereka dalam negara ASEAN.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *