Cabaran Guru dalam Menghadapi Revolusi Industri Ke-4 ?>

Cabaran Guru dalam Menghadapi Revolusi Industri Ke-4

Cabaran Guru dalam Menghadapi Revolusi Industri Ke-4

Seorang guru mempunyai amanah dan tanggung jawab yang berat bagi mendidik pelajarnya. Peranan guru perlu selari dengan perkembangan persekitaran pendidikan masa kini. Ini menuntut komitmen guru yang sanggup menghadapi sebarang perubahan dalam abad ke-21 ini. Tiada guru yang mahukan anak didiknya menjadi insan yang tidak berguna. Amanah yang diberikan kepada guru dalam mendidik pelajar perlu digalas dengan sebaik mungkin. Guru perlu teruskan tugas dan tanggung jawab sedia ada dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi. Peranan guru kini semakin mencabar, mulai sekarang guru perlu bersedia dalam menghadapi revolusi industri ke-empat. Untuk revolusi pendidikan menjadi kenyataan, inovasi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dan peranan guru adalah menjadi sangat penting bagi mencapai hasrat tersebut.

Teknologi Digital

Pelajar kini terdedah kepada dunia yang berasaskan teknologi digital dimana internet, pengkomputeran awan (cloud computing) dan sosial media memberi cabaran kepada sistem pendidikan formal. Perkembangan teknologi yang pantas ini memerlukan perubahan paradigma dalam kalangan guru. Adakah guru telah bersedia untuk menghadapi pelajar generasi ini? Bagaimana untuk menghasilkan pelajar yang serba boleh dalam menyelesaikan isu yang kompleks, kreatif dan inovatif? Sudah tentu perlu komitmen untuk membentuk alat pedagogi yang baru. Pendidikan perlu mengadaptasi kepada kaedah baru pengajaran selari dengan perkembangan pantas teknologi. Teknologi telah menyerap kepada sebahagian besar masyarakat dan juga dalam alam pekerjaan serta kehidupan seharian kita. Malah ada yang mengatakan kemahiran yang kita belajar dalam pendidikan formal kini sudah tidak relevan untuk masa akan datang. Adakah ini benar? Kini istilah seperti robot, kecerdasan buatan (artificial intelligence), inovasi dan teknologi disruptif sering kita dengar apabila membicarakan tentang revolusi industri ke- 4.  Adakah guru telah bersedia untuk mengintegrasi luasan realiti (augmented reality) dalam pengajaran mereka? Seperti yang kita ketahui pengintegrasian luasan realiti dalam pengajaran membolehkan pelajar memahami sesuatu konsep dengan lebih baik.

Pendekatan Pengajaran

Zaman guru sebagai sumber utama ilmu dan maklumat mungkin sudah tidak relevan masa kini. Pengajaran dan pembelajaran kini perlu penekanan kepada aspek kreatif dan inovatif. Selain itu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran perlu kepada pendekatan berfokus kepada pelajar yang berkolaborasi dan saling bergantung antara satu sama lain. Pembelajaran aktif, pembelajaran berasaskan projek, penyelesaian masalah dan inkuiri dengan peluang untuk terlibat dengan dunia sebenar perlu menjadi amalan. Dengan berkembangnya sumber maklumat terbuka dan kandungan secara dalam talian, guru bukan lagi sebagai sumber utama maklumat. Maklumat di hujung jari ini membolehkan guru dan pelajar mengakses maklumat dengan pantas dan cepat. Ini bukan bermakna guru tidak diperlukan tetapi peranan mereka sebagai pemberi maklumat telah berubah kepada pemudahcara dan konsultatif. Pelajar kini diberi kebebasan untuk menyesuaikan proses pembelajaran mereka melalui Pembelajaran Teradun (Blended Learning), Kelas Berbalik (Flipped Classroom) dan Membawa Peranti Anda Sendiri (BYOD,Bring Your Own Device). Pembelajaran juga diperibadikan (Personalised Learning) iaitu pembelajaran disesuaikan dengan kehendak pelajar kerana mereka juga mempunyai kepelbagaian dalam pembelajaran. Pembelajaran juga kini bukan hanya tertumpu di dalam kelas tetapi boleh juga berlaku di  rumah atau dimana sahaja mereka berada. Perkara yang dinyatakan di atas memerlukan perubahan dalam peranan guru sebagai pendidik. Oleh itu, dalam konteks pelatihan guru, program-program latihan guru dipelbagai institusi perlu seiring dengan perkembangan masa kini dan sangat mendesak untuk dikemaskini bagi menghadapi revolusi baru ini.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *