Guru Matematik Efektif Murid Aktif ?>

Guru Matematik Efektif Murid Aktif

Peranan seorang guru sangat penting di dalam kelas bagi menarik minat murid untuk belajar. Guru bukan sahaja mengajar dan menerangkan sesuatu konsep kepada muridnya malah juga berperanan sebagai insan pendidik yang sentiasa memberi galakan dan motivasi untuk mereka terus belajar. Sebagai seorang guru matematik, pengajaran matematik perlu menekankan pemahaman konsep dan penguasaan kemahiran dalam bidang seperti nombor, bentuk dan ruang, dan perkaitan serta penggunaan matematik untuk menyelesaikan masalah dalam pelbagai situasi. Selain itu, seorang guru juga harus mempunyai kemahiran menggunakan strategi kognitif peringkat tinggi dalam pengajarannya.

Penguasaan Konsep

Seterusnya, pengajaran guru yang berkesan sering dikaitkan dengan persekitaran yang kondusif, menggalakkan murid berfikir, menyoal dan menyelesaikan masalah serta memahami konsep. Suasana pengajaran yang kondusif dapat menggalakkan penglibatan aktif murid dan meningkatkan kemahiran berfikir pada aras yang tinggi. Jika anda seorang guru matematik, anda perlu memahami dan menguasai sepenuhnya setiap konsep dan kemahiran dalam matematik. Guru perlu mengetahui bagaimana konsep dan kemahiran tersebut boleh disampaikan kepada murid dengan cara yang terbaik supaya pembelajaran berlaku dengan mudah, bermakna dan menyeronokkan. Penguasaan guru dalam konsep matematik juga berkait rapat dengan kefahaman murid terhadap sesuatu konsep. Ini bermakna murid akan lebih faham jika diajar oleh guru yang menguasai konsep matematik.

Latihan Guru Berterusan

Sehubungan dengan itu, pelbagai program telah diadakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan guru sentiasa menerima pengetahuan terkini dan menguasai kemahiran tertentu untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran. Antara usaha kementerian dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ialah meningkatkan kualiti Continuing Professional Development (CPD) mulai 2013 dengan menumpukan keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah. Guru akan menerima latihan komponen teras dan elektif di sekolah bagi meningkatkan lagi tahap kemahiran selaras dengan tahap kecekapan yang jangkakan daripada seseorang guru. Oleh itu, guru diharap dapat memberi fokus ke atas fungsi pengajaran teras mulai 2013 dengan mengurangkan beban pentadbiran.

Pengajaran Berpusatkan Murid

Pada hari ini strategi pengajaran yang menumpukan kepada pengajaran berpusatkan murid amat digalakkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Guru akan melibatkan murid secara aktif. Ini bermakna guru berperanan sebagai fasilitator bagi membantu murid menyelesaikan masalah semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran yang baik adalah pengajaran yang menggalakkan pemahaman konsep dan prosedur matematik. Strategi yang telah dirancang dengan baik akan membawa prestasi yang dikehendaki. Seseorang guru perlu mempunyai sifat kreatif yang boleh dibina melalui pengalaman mereka sedia ada. Unsur-unsur kreatif perlu diterapkan dalam prinsip pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan guru, persekitaran dan strategi pengajaran. Guru perlu berilmu, berinisiatif dan memahami keperluan pengajaran dan pembelajaran matematik masa kini.

Kecekapan Matematik

Kecekapan matematik berikut perlu ada pada seorang guru bagi mencapai matlamat pengajaran yang efektif iaitu pemahaman konseptual, kemahiran prosedural, kecekapan strategik, penaakulan adaptif dan disposisi produktif. Pemahaman konseptual mengandungi aspek gabungan konsep matematik, operasi dan hubungan yang terdapat dalam matematik. Manakala kemahiran prosedural merupakan kebolehan untuk melaksanakan prosedur matematik secara tepat, fleksibel dan bersesuaian. Seterusnya, kemahiran strategik merujuk pada kebolehan membuat formulasi, perwakilan dan menyelesaikan masalah matematik. Penaakulan adaptif merujuk kepada keupayaan pemikiran logik, refleksi, penjelasan dan justifikasi. Disposisi produktif pula merupakan kemahiran yang melihat kepentingan dan kebergunaan matematik dan dihubungkan dengan kepercayaan terhadap usaha yang bersungguh-sungguh serta efikasi kendiri. (Sumber National Research Council, USA). Pengajaran yang baik akan diperoleh oleh guru seandainya gabungan kelima-lima kecekapan tersebut ada pada guru tersebut.

Oleh itu, cabaran yang dihadapi oleh seorang guru memang memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi. Kaedah pengajaran yang sesuai menjadi keperluan guru untuk digunakan dalam kelas matematik. Ini adalah bersesuaian dengan tumpuan pendidikan masa kini iaitu ke arah kemahiran abad ke 21.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *