Keperluan Perkembangan Profesional Guru ?>

Keperluan Perkembangan Profesional Guru

Program perkembangan profesional guru dalam perkhidmatan bagi meningkatkan pengetahuan kandungan dan kemahiran pedagogikal guru sememangnya diperlukan. Bagaimanapun terdapat kajian mengatakan guru tidak pernah atau jarang mengikutinya. Perkembangan profesional guru mesti mendukung pelbagai peluang yang membenarkan guru berkongsi apa yang mereka tahu dan apa yang mereka ingin belajar. Pentadbiran di sekolah dan daerah perlu tahu dahulu keperluan guru sebelum menyediakan sumber bagi perkembangan guru. Perkembangan professional guru mestilah dihalakan kepada keperluan dan keprihatinan guru bagi setiap tahap kepakaran yang berbeza. Pada masa kini, guru sentiasa didedahkan dengan pelbagai pendekatan baru dan dijangka mengaplikasikan teknik baru atau konsep dalam kelasnya. Perkembangan teknologi dan pendekatan pengajaran yang sentiasa berubah memerlukan ianya disampaikan dengan cara yang berkesan kepada guru. Ia memerlukan sokongan semua pihak bagi menjayakannya. Apatah lagi kini guru-guru diperlukan untuk mengajar dengan mengambil kira elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) selain daripada mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.

Program Perkembangan Profesional

Program perkembangan professional yang terbaik bagi guru ialah dengan menyediakan peluang bagi memperkembangkan pengetahuan dan kemahiran. Selain itu, komuniti pembelajaran profesional guru-guru yang melibatkan semua guru di sekolah perlu dibina dan diteguhkan. Sediakan dan sokong peranan guru sebagai pemimpin serta galakkan mereka terlibat dalam perkembangan seluruh sekolah. Program perkembangan profesional guru juga memerlukan pentaksiran secara berterusan, membuat pembaikan dan refleksi bagi memastikan impak positif terhadap keberkesanan guru, pembelajaran pelajar, kepimpinan dan komuniti sekolah.

Sebaiknya. program perkembangan profesional menggalakkan aktiviti ”berpandu secara individu”, memberi maklum balas mengenai amalan pengajaran baru, menyediakan peluang untuk guru memberi input dan terlibat dalam program perkembangan profesional dan menyokong pendekatan inkuiri bagi menyelesaikan masalah guru dari aspek pedagogi serta membantu guru membina pengetahuan asas bagi membuat keputusan yang berkesan.

Sebagai seorang guru, guru perlu mempunyai kefahaman tentang apa yang perlu ajar dan bagaimana untuk mengajarnya. Seterusnya, perlu mempunyai pengetahuan asas, antaranya, pengetahuan kandungan, pengetahuan pedagogi umum, pengetahuan kurikulum, pengetahuan pedagogi kandungan, pengetahuan tentang pelajar, pengetahuan konteks pendidikan selain pengetahuan tentang tujuan dan nilai serta falsafah.

Memandangkan pengetahuan di atas tidak mungkin semuanya didapati semasa guru belajar di institusi pendidikan atau universiti, maka kebanyakan guru mendapat pengetahuan daripada latihan semasa perkhidmatan. Banyak hasil positif yang dilaporkan oleh guru selepas menghadiri program perkembangan profesional, mereka telah berubah serta meningkatkan pengetahuan dan pendekatan pengajaran mereka.

Strategi-Strategi Untuk Perkembangan Profesional

Kebanyakan program perkembangan profesional menggunakan pelbagai bentuk strategi bagi melatih guru. Bagi tujuan membina pengetahuan guru, antara strategi yang dicadangkan ialah melibatkan jenis pembelajaran yang dijangka menjadi amalan dengan pelajarnya; penglibatan dalam bengkel, kursus, seminar; berinteraksi secara perseorangan atau melalui elektronik dengan guru lain bagi membincangkan topik-topik yang mempunyai minat bersama; dan menggunakan pelbagai bentuk teknologi untuk belajar kandungan dan pedagogi.

Bagi tujuan menterjemah teori kepada amalan, guru-guru digalakkan membina bahan bantu pengajaran dan strategi yang baru bagi memenuhi kehendak pembelajaran pelajar. Untuk menghasilkan kesan yang lebih baik ianya memerlukan penglibatan guru secara sukarela, mempunyai jangkaan yang jelas, mempunyai prosedur yang telah sedia baik, pengetahuan kandungan dan sokongan pentadbiran.

Bagi menggalakkan refleksi, program perkembangan profesional boleh lah menggunakan kajian tindakan, perbincangan kes, memeriksa kerja pelajar dan pemikiran pelajar serta kerja kumpulan. Bagi menyokong strategi yang digunakan guru perlu diberi akses kepada sumber-sumber penyelidikan semasa, suasana yang kondusif dan peluang untuk berkongsi amalan pengajaran mereka. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian bagi mengayakan program perkembangan profesional: (a)perlu relevan dengan pembelajaran pelajar, (b) perlu membuat penilaian selepas penglibatan mereka dalam program, (c) menggalakkan guru terlibat proses perancangan, (d)         sokongan yang sesuai daripada pihak berkaitan, (e)   perlu kepada tindakan susulan.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa melalui perkembangan profesional sahaja tidak boleh memenuhi usaha perubahan jika guru tidak berminat atau tidak memberi kerjasama. Program perkembangan staf perlu dikembangkan di sekolah dengan mengambil kira keperluan dan kehendak guru. Guru perlu kepada perubahan dalam amalan pengajaran dan pembelajaran di kelas sesuai dengan kehendak pendidikan di abad ke-21. Dengan itu, maklumat yang tepat tentang kehendak dan keperluan guru adalah penting supaya sesuatu program perkembangan staf lebih berkesan.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *