Minat Terhadap Matematik Bermula di Rumah ?>

Minat Terhadap Matematik Bermula di Rumah

Minat murid terhadap matematik harus dipupuk semenjak daripada kecil lagi. Terdapat ibu bapa mempunyai persepsi bahawa matematik itu adalah sukar. Oleh kerana mereka sendiri mempunyai pengalaman yang sukar di sekolah maka mereka turut beranggapan bahawa matematik adalah sukar untuk anak mereka. Maka disebabkan itu mereka tidak tahu bagaimana membantu anak mereka dalam matematik. Dalam kehidupan seharian anak-anak kita memang telah terdedah kepada matematik dalam kehidupan mereka. Oleh kerana matematik semakin bertambah penting dalam dunia teknologi ini, maka pembelajaran matematik bermula di rumah juga menjadi keutamaan selain daripada di sekolah. Membantu anak menyelesaikan masalah, berkomunikasi secara matematik dan membuat penaakulan adalah asas kepada pembelajaran matematik. Penyelesai masalah adalah seseorang yang menyoal, menyiasat dan meneroka penyelesaian kepada masalah. Beliau juga harus memahami bahawa ada banyak cara untuk mendapatkan penyelesaian. Anda boleh menggalakkan anak anda menjadi penyelesai masalah dengan melibatkan anak anda dalam membuat keputusan keluarga yang menggunakan matematik.
Komunikasi dalam Matematik
Berkomunikasi secara matematik bermakna menggunakan perkataan, nombor atau simbol matematik bagi menjelaskan sesuatu situasi; menggunakan gambar rajah untuk menerangkan sesuatu dan menulis tentang matematik. Anda boleh membantu anak anda berkomunikasi secara matematik dengan bertanyakan anak anda untuk menjelaskan sesuatu masalah atau jawapan. Contoh yang paling asas, minta anak anda memadankan sepasang kasut, setokin atau memadankan sudu, garpu. Ini boleh mengajar mereka konsep menyusun dan membanding. Suruh anak anda melukis bentuk-bentuk objek di sekeliling mereka dan tanya bentuk apa yang mereka lukiskan. Ini boleh membantu mereka memahami konsep-konsep asas geometri. Sebagai contoh lagi, minuman dalam gelas juga boleh digunakan untuk mengajar konsep pecahan. Satu per dua cawan air atau kadang-kadang kita sebut setengah cawan air, satu per empat cawan air, tiga per empat cawan air. Kita boleh juga memperkenalkan penaakulan spasial kepada anak-anak kita. Apabila kita menunjukkan anak kita tentang lokasi sesuatu objek itu, kita telah menjelaskan perhubungan antara ruang dengan objek. Buku di atas meja, bola di dalam kotak, kasut di bawah kerusi adalah contoh-contoh objek di lokasi. Keupayaan membuat penaakulan bermakna, boleh berfikir secara logik, boleh melihat kesamaan dan perbezaan tentang sesuatu, membuat pemilihan berdasarkan perbezaan tersebut dan berfikir tentang perkaitan antara perkara tersebut adalah kemahiran penting untuk menguasai matematik. Anda boleh menggalakkan anak anda menjelaskan jawapan kepada masalah matematik yang mudah dan juga yang agak sukar. Anak anda pasti akan memberi sebab mengapa jawapan sedemikian. Begitu banyak sekali di persekitaran kita dipenuhi unsur-unsur matematik mudah. Jika kita tahu menggunakannya, secara tidak langsung kita telah mengembangkan kemahiran matematik anak-anak kita.
Pemahaman Konsep dan Kemahiran Berfikir
Pada masa kini fokus pembelajaran adalah kepada pemahaman konsep dan aplikasi kemahiran berfikir, bukan lagi kepada hafalan. Ini bermakna hafalan semata-mata tidak menjamin murid-murid boleh membuat matematik dengan baik. Maka tidak hairanlah jika terdapat murid-murid yang mendapat banyak A dalam peperiksaan tetapi tidak boleh menyelesaikan masalah yang melibatkan kemahiran berfikir. Oleh kerana itu, untuk berfikir dengan baik murid-murid perlu memahami konsep. Konsep membantu kita untuk berfikir. Kemahiran berfikir adalah proses mental yang selalu kita gunakan dalam menyelesaikan masalah, membuat keputusan, menanyakan soalan, menilai idea, membuat perancangan dan menyusun maklumat.
Matematik Rekreasi
Salah satu cara lagi menarik minat murid kepada matematik adalah melalui matematik rekreasi. Matematik rekreasi boleh mengukuhkan dan menguatkan kemahiran murid dalam matematik. Matematik rekreasi yang berunsur permainan boleh menjana pemikiran dengan cara yang menyeronokkan. Permainan boleh melibatkan satu kemahiran yang sangat penting iaitu pemikiran strategik. Ia memerlukan keupayaan untuk memerhati, mendapatkan maklumat yang pelbagai, menganalisis maklumat, merancang dan menganalisis beberapa kemungkinan penyelesaian, dan memilih tindakan yang sesuai. Matematik rekreasi merupakan satu alat yang dapat membantu murid-murid memahami konsep-konsep matematik dengan mudah melalui cara yang menarik. Ia juga boleh mengembangkan pemikiran logikal dan kreatif. Seterusnya, dapat membantu murid-murid menerima pembelajaran matematik yang optimum. Oleh sebab itu, setiap ibu bapa harus mengetahui perkara-perkara yang terdapat dalam matematik rekreasi. Permainan-permainan ini begitu mudah untuk di peroleh sama ada melalui sumber internet atau di kedai-kedai buku. Antara permainan matematik yang boleh digunakan ialah Petak Ajaib (Magic Squares), teka-teki, tangram dan geoboard.
Oleh itu, memang tidak dinafikan peranan ibu bapa boleh mempengaruhi minat anak-anak terhadap matematik. Jadi mulalah daripada sekarang untuk menanam minat anak-anak kepada matematik dengan melibatkan diri anda dengan aktiviti anak-anak anda di rumah.


One thought on “Minat Terhadap Matematik Bermula di Rumah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *