Budaya penyelidikan guru di sekolah. Isu dan cabaran guru untuk menjalankan penyelidikan ?>

Budaya penyelidikan guru di sekolah. Isu dan cabaran guru untuk menjalankan penyelidikan

Penyelidikan adalah salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru agar kualiti pendidikan dapat dicapai bagi memenuhi hasrat dan kehendak negara. Penyelidikan merupakan suatu usaha yang sistematik untuk mendapatkan jawapan kepada suatu masalah. Biasanya, penyelidikan dilakukan apabila ada masalah, isu dan keperluan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Konsep guru sebagai penyelidik turut dibahaskan dalam literatur pendidikan guru, terutamanya berkaitan dengan reformasi pendidikan dan peningkatan profesionalisme guru. Secara umumnya, penyelidikan dilakukan dengan bertujuan untuk menyelesaikan suatu masalah.

Kepentingan Penyelidikan
Trend globalisasi telah mencetuskan pelbagai cabaran dalam pelaksanaan pendidikan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Dengan perkembangan yang pesat dalam bidang pendidikan, guru juga perlu seiring dengan perkembangan tersebut. Keperluan terhadap pendidikan berterusan juga merupakan satu cabaran bagi guru-guru masa kini. Pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan memerlukan inovasi dan penambahbaikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran itu sendiri. Penyelidikan dapat membantu guru-guru memberi penjelasan terhadap sesuatu fenomena yang berlaku dalam amalan P&P, pengurusan bilik darjah dan pengurusan organisasi pendidikan. Dengan penyelidikan juga, guru-guru dapat berkongsi pengalaman mereka dan seterusnya boleh digunakan oleh guru-guru lain sebagai rujukan dan penambahbaikan terhadap kualiti PdP. Guru adalah insan yang paling hampir dengan pelajar. Oleh itu dengan melakukan penyelidikan guru boleh memperbaiki pendekatan, strategi, kaedah PdP, penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dalam suasana bilik darjah yang kondusif. Ini juga seiring dengan slogan yang selalu dilaungkan iaitu” guru sebagai pengamal reflektif”. Amalan penyelidikan seperti kajian tindakan perlu dilaksanakan dengan lebih intensif. Usaha Jabatan Pendidikan Negeri, Institut Pendidikan Guru dan Universiti membudayakan budaya penyelidikan dalam kalangan guru amat dialukan. Malah terdapat kini usaha setengah pihak yang mensyaratkan seorang guru perlu melakukan sekurang-kurangnya satu kajian tindakan dalam setahun agar inovasi dalam PdP dapat dilaksanakan untuk menambah baik sistem pendidikan dan meningkatkan kualiti guru perlu disokong dan diteruskan. Guru perlu menyahut cabaran ini agar kualiti pendidikan dapat ditingkatkan.

Penyelidikan Kolaboratif
Bagaimanapun kini menjalankan penyelidikan bukanlah menjadi keutamaan kepada guru. Penyelidikan di sekolah dianggap sebagai ‘tugas tambahan’ kepada guru, sesuatu yang sangat sukar dan hanya dilakukan bagi memenuhi permintaan Jabatan atau Kementerian sahaja. Beban tugas yang sedia ada memerlukan guru memperuntukkan masa yang banyak untuk menyelesaikan tugas-tugas rutin dan tugas-tugas yang dikehendaki pentadbir. Oleh itu mungkin satu jalan penyelesaian perlu dicari bagi membantu guru dalam aspek penyelidikan ini. Guru boleh menjalankan penyelidikan secara kolaboratif dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru dan Universiti-Universiti tempatan. Penyelidikan kolaboratif memberikan peluang kepada guru untuk terlibat sama dalam aktiviti penyelidikan PdP dan secara tidak langsung merapatkan lagi jurang antara guru dan pensyarah universiti dalam aktiviti penyelidikan yang memberi manfaat bersama. Walaupun usaha kolaboratif ini telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu ia perlu ditingkatkan dengan cara yang lebih sistematik dan berkesan. Dorongan dan insentif perlu diberi kepada guru supaya budaya penyelidikan ini berkembang di sekolah. Insentif bukan bermaksud insentif kewangan semata-mata tetapi ia lebih kepada pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam aktiviti penyelidikan.

Kemahiran Penyelidikan
Antara isu yang paling penting juga adalah kemahiran guru dalam melakukan penyelidikan. Memang tidak dinafikan kebanyakan guru telah diberi pendedahan tentang penyelidikan semasa latihan perguruan di Institusi Pendidikan yang berfokus kepada penyelidikan tindakan. Bagaimanapun, masih terdapat juga sebahagian guru menganggap penyelidikan sukar dilakukan dengan ketiadaan pakar dan orang yang boleh dirujuk. Oleh itu usaha berterusan boleh dilakukan dengan mengadakan kursus-kursus jangka pendek seperti latihan dalam perkhidmatan yang melibatkan pakar-pakar dalam kalangan guru, pensyarah IPG dan universiti. Malah kini sudah terdapat satu trend dimana guru-guru telah mula menyedari pentingnya mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah. Sudah tentu ianya membantu menggiatkan aktiviti penyelidikan di sekolah. Dengan kerjasama semua pihak diharapkan budaya penyelidikan ini menjadi satu amalan yang berterusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *